Angka ‘786’

Gambar di atas adalah nisan atau batu tanda makam Hadhrat Ra-isul Hukama` wal Mutakallimin, Khatimul Fuqaha` wal Muhadditsin, Syaikhul Islam, Mawlana Sayyid Anwar Syah rahimahullah. Ulama besar yang sudah tersohor namanya di seantero dunia. Namun ese tak berhasrat untuk menulis mengenai biografi beliau yang sudah tersebar luas. Apa yang menarik pada nisan beliau tersebut, selain tertulis nama beliau rahimahullah dan kalimah “marqad mubarak munawwar” – makam yang berkat lagi bercahayamaka di atasnya tercatat angka “786” menggunakan angka Arab. Apakah signifikannya angka tersebut ?
Biasanya kalau kita lihat di papan nama kedai-kedai mamak biasa ditulis angka “786” ini di atasnya. Sebenarnya angka tersebut hanyalah simbol yang telah digunakan oleh sebahagian ulama, terutama sekali ulama di Benua India untuk merujuk kepada lafaz “basmallah” yang mulia. Demi menjaga martabat kebesaran khat tulisan “basmallah“, maka hanya simbol tertentu yang telah baku di sisi sebahagian ulama digunakan ketika berhajat untuk menulis khat lafaz yang mulia tersebut di tempat-tempat yang kurang wajar. Oleh itu tujuan ianya diguna adalah menjaga kemuliaan dan kesucian kalimah “basmallah”, yakni janganlah tulisan penuh “basmallah” ditulis di tempat – tempat yang tidak sewajarnya, seperti di kubur atau di luar rumah atau kedai dan seumpamanya. Juga dulu orang – orang Hindu di India pun selalu mendatangi para alim ulama untuk meminta azimat, maka takkan tok – tok alim ini nak tulis “basmallah” atau ayat-ayat al-Quran. Berhubung dengan penulisan azimat dan sebagainya, kita boleh bahas di tempatnya. Cuma singkatnya menurut jumhur fuqaha`, ianya dibenarkan dengan beberapa syarat untuk tujuan tabarruk sahaja.
Berbalik kepada persoalan di atas, maka para ulama telah menggunakan simbol – simbol angka untuk  merujuk kepada ayat – ayat atau isim – isim tertentu. Pastinya formulasi simbol angka ini berteraskan kepada satu ilmu yang sudah ada sejak dahulu lagi di kalangan bangsa Arab yang dikenali sebagai hisab al-jummal, di mana setiap huruf Arab tersebut mempunyai nilai angka tertentu (numerical value). Maka dengan menghitung nilai – nilai angka yang terkandung dalam kalimah “basmallah“, diperolehilah yang jumlah nilaian angkanya berdasarkan kepada hisab jummal adalah “786”.

Namun perlu diperingatkan bahawa angka “786” itu bukanlah ganti atau ertinya “basmallah” sebagaimana kepercayaan sesetengah orang. Ianya hanyalah satu rumus angka untuk merujuk kepada “basmallah“. Macam kita kata “orang no. 1” di Malaysia, pasti kebanyakan kita akan rujuk kepada “DS Najib”, tapi takkan kita nak panggil DS sebagai “Oii Nombor Satu”, yang pastinya kita panggil “Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib” (kalu mu ogre Umeno atau BiEnd) atau “Abang Najib” (kalu mu adik beradik dia atau adik beradik Kak Ros) atau “Abangg Naaajiiib”  – dengan suara manja sikit, (itu kalu mu Kak Ros) ….. qiyaskanlah kepada yang lain. Melawak noooo, jangan marah, bak kata CM kawey : “Kita hidup tok mesti berguro baruk panjang umur, tok muka menjus jak-jak, susah juak “.

Berbalik kepada angka “786” ianya hanyalah satu simbol, di mana bila kita melihatnya minda kita (minda yang tahu le, yang tak tahu pergilah belajar untuk tahu) akan terus teringat pada kalimah yang musyarrafah “basmallah“. Lagi sekali diingatkan bahawa angka tersebut bukan sekali-kali pengganti atau setaraf dengan “basmallah“, jangan pulak kita ganti baca “basmallah” dengan membaca “tujuh lapan enam, tujuh lapan nam”, karang ada yang kena katok kepala !!!!!!!
Sekadar menulis angka 786, di pintu – pintu kedai atau premis atau kat luar rumah atau kat tempat – tempat yang dirasakan tak layak untuk kita letak nama Allah yang mulia, taklah menjadi satu kesalahan. Ianya adalah dengan harapan bahawa sesiapa yang melihatnya akan membaca kalimah “basmallah“. Namun bak ese kata, orang mengaji ni tak ramai, yang bodoh sombongnya yang ramai, maka berlakulah kekeliruan. Sehingga ada yang taksub menyamakan “786” dengan kalimah “basmalah” yang musyarrafah…. Allahu … Allah. Makanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Julai 2007 telah memfatwakan sebagai berikut:-
  1. Kepercayaan terhadap angka 786 bermaksud Bismillahirrahmanirrahim juga meyakini angka tersebut membawa tuah dan nasib yang sentiasa baik adalah satu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan Akidah Ahli As-Sunnah Wal-jamaah dan syariat serta akhlak Islam.
  2. Perbuatan ini juga termasuk dalam golongan mereka yang mentafsirkan Al-Quran mengikut hawa nafsu dan tidak berdasarkan kepada ilmu dan disiplin – disiplinnya serta tidak mendapat hidayah Allah s.w.t.
  3. Semua pihak yang terlibat hendaklah menghentikan kepercayaan dan penggunaan terhadap perkara ini serta – merta.
  4. Semua umat Islam dilarang membuat, mencetak, menjual, membeli, mengguna, menyimpan, mempamer, menjadikan perhiasan, menjadikan logo dan menjadikan azimat apa-apa sahaja benda atau barangan yang mengandungi angka 786 tersebut.
Jadi kalau di Johor, agaknya nisan Mawlana Anwar rahimahullah tu nampaknya kena buanglah angka 786? Tak juga, kerana daripada teks fatwa tersebut kita faham bahawa laranganya tidaklah secara ithlaq, ianya bergantung kepada beberapa perkara lain yang berkaitan. Zaman moden ini sepatutnya manusia lebih memahami lagi permasalahan simbol-simbol ini. Sekarang penulisan dengan program tertentu menggunakan komputerpun ada banyak simbol yang bermanfaat untuk kita gunakan seperti kod “Unicode” di mana kalau kita key in huruf rumi tertentu sewaktu menulis dengan Microsoft Words kemudian tekan alt-x, maka huruf tersebut akan bertukar kepada kalimah berbahasa Arab yang tertentu. Misalnya kita tulis “FDF2” tekan alt-x, maka ianya akan berubah kepada Ismudz Dzat Allah yang mulia atau kita tulis “FDFA” tekan alt-x, ianya berubah menjadi “shallaAllahu `alaihi wa sallam” dengan tulisan arab yang cantik… Allahu …Allah. Jadi memudahkan kita menulis nampaknya, jangan buat bid`ah dholalah udah le, orang baca shalawat ekau baca “fdfa”. Jadi penggunaan simbol – simbol ini tidaklah haram secara mutlak untuk digunakan kerana tidak ada nas sharih yang mengharamkan penggunaaannya. Jika pun diharamkan, macam kat Johor, maka ianya disebabkan perkara-perkara yang mendatang seperti iktiqad dan kepercayaan yang salah tersebut. Dan sewajarnya bagi sesiapa yang hendak menulis apa-apa kalimah yang musyarrafah, maka hendaklah dipeliharakan kesuciannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *